Cerita Ramadan Penulis: Ainin Naufal

Ramadan Datang Lagi!
Ramadan datang lagi! Sekarang apa yang kita semua rasa? Seronok? Lapar? Letih? Tidak sabar mahu raya? Setiap Ramadan pasti akan ada kenangan-kenangan yang manis ataupun masam-masam pahit yang akhirnya menjadi terlalu manis apabila dikenang. Setiap tahun kedatangan Ramadan dinanti oleh kaum Muslimin di seluruh dunia. Ramadan bulan seribu rahmat. Ramadan bulan penuh berkat. Ramadan bulan yang penuh dengan keseronokan.
Mari kita renungkan apa yang seronok pada bulan Ramadan? Bagi umat Islam yang berpuasa, dijanjikan dua keseronokan. Pertama, ketika tiba masa hendak berbuka. Kedua, apabila tibanya Aidilfitri.
Tentu adik-adik pernah merasai kedua-dua keseronokan itu bukan? Sekiranya tidak pernah, tentu ada yang tidak kena!
Mengimbas zaman kanak-kanak dahulu, bukan main teruja kami apabila mendapat tahu tidak lama lagi ahli falak akan meneropong anak bulan. Malam itu telinga dan mata perlu dipekakan supaya dapat dengar dengan jelas pengumuman di televisyen. Perasaan waktu itu memang seronok kerana Ramadan tiba lagi. Dalam kepala sudah terbayang bunga api yang cantik, bertarawih, moreh, bertukar-tukar juadah dengan jiran, dan berhari raya selepas tiga puluh hari kemudian. Awal-awal bulan puasa lagi sudah terbayang baju, duit dan kuih-muih raya. Memang menyeronokkan!
Berapa ramai antara kita yang tidak seronok ketika hampir tiba waktu berbuka? Pasti semua orang tidak sabar-sabar menanti waktu itu. Berbagai-bagai gelagat dapat dilihat apabila seluruh ahli keluarga berkumpul bagi berbuka bersama-sama. Ada yang awal-awal lagi sudah berkira-kira menyusun makanan apa yang mahu dimakan dahulu. Ada juga yang sudah bersiap sedia menyusun makanan ke dalam pinggan sendiri ataupun meletakkan makanan kegemaran betul-betul di hadapannya kerana takut dihabiskan orang lain. Ada juga yang sudah duduk di hadapan hidangan sedangkan ketika itu azan hanya akan berkumandang setengah jam lagi.
Pada bulan-bulan biasa, keadaan waktu makan tidak semeriah ketika berbuka pada bulan Ramadan. Ahli keluarga yang sibuk, ada kalanya langsung tidak berkesempatan makan bersama-sama. Namun bulan seribu berkat inilah waktu makan menjadi seronok kerana dapat makan beramai-ramai. Semua orang berebut-rebut pulang awal supaya dapat berbuka bersama-sama. Makan berebut-rebut memang seronok! Ya, seronok dan seronok lagi. Namun janganlah ada yang sampai bergaduh pula, ya. Ketika ini ibulah yang paling sibuk sekali melayan ahli keluarga yang lain makan.
Pada bulan Ramadan, syaitan dibelenggu dan manusia dapat beribadat tanpa gangguan. Namun mampukah kita melawan dan mengawal nafsu? Apabila bercakap soal makan dan hidangan berbuka, pasti ramai yang tiba-tiba teringin makan bermacam-macam hidangan. Pada bulan-bulan biasa, pisang yang berlambak di dapur langsung tiada sesiapa yang mahu makan. Namun apabila tiba bulan puasa, pisang yang dahulunya tidak dipandang itu kelihatan sedap pula. Seolah-olah ia melambai-lambai pandangan dan mengecurkan air liur. Ketika itu bermacam-macam menu pisang yang muncul di dalam benak; pengat, cekodok, pisang goreng, lepat dan lain-lain lagi.
Apabila pergi ke kedai pula, sebaik tiba di rak-rak makanan, semuanya nampak menggoda. Biskut kering pun mampu menggamit selera. Bayangkan pula sekiranya berada di bazar Ramadan yang penuh dengan beraneka juadah, daripada yang biasa-biasa hinggalah kepada juadah yang pelik-pelik. Pasti ketika itu ramai yang gagal mengawal nafsu. Semuanya dibeli. Sekiranya boleh, dengan penjualnya pun hendak dibeli sekali. Apabila tiba di rumah, ada pula ahli keluarga yang turut membeli bermacam-macam makanan. Akhirnya, apabila selesai berbuka, makanan itu masih berlambak-lambak. Hingga waktu sahur pun makanan itu sudah tidak terusik lagi. Kita mengawal nafsu dan bukan nafsu mengawal kita. Mari sama-sama mengingatkan diri.
Perlu diingat, Ramadan bulan istimewa. Ibadah yang dilakukan pada bulan ini Allah melipatgandakan pahalanya. Tarawih ialah ibadah khusus dan istimewa pada bulan ini. Tidak ada solat tarawih pada bulan-bulan biasa. Oleh sebab itu, rebutlah peluang menunaikannya ketika masih ada kesempatan. Begitu juga membaca al-Quran. Aktiviti bertadarus seronok apabila dilakukan secara berkumpulan. Namun kini disebabkan kesibukan, ramai yang memilih melakukannya secara individu. Apapun, rebutlah tawaran hebat yang Allah sediakan khusus pada bulan istimewa ini!
Apabila sudah melewati beberapa hari berpuasa, maka ketika itu setiap hari masing-masing sudah mula sibuk membilang tinggal berapa hari lagi Aidilfitri, siapa yang sudah ponteng puasa, siapa yang masih mengekalkan rekod berpuasa dengan cemerlang. Ketika ini ramai yang mula mencongak-congak berapa jumlah pungutan duit raya. Baju dan kasut raya jangan ceritalah, sudah tentu awal-awal lagi sudah digayakan di hadapan cermin. Mungkin juga ada yang sudah tidak sabar-sabar menyuruh ibu buat kuih raya ataupun sibuk bercita-cita menyuruh ibu membeli kuih-kuih raya kegemaran. Ketika inilah terasa keseronokan kedua bagi orang yang berpuasa. Setiap hari asyik mengira berapa hari lagi tibanya hari raya.
Begitulah seronok dan nikmatnya berada di bulan Ramadan. Hanya yang berpuasa yang faham dan dapat menikmati keseronokan itu. Pada bulan yang istimewa ini, jadikanlah ibadah puasa kita sebagai yang paling cemerlang, tanpa dicemari oleh perbuatan-perbuatan yang mengurangkan pahala puasa. Mari sama-sama menggandakan pahala. Selamat beribadah!
