Melah Melia: Siri Menarik untuk Koleksi Peribadi
Peminat-peminat buku PTS One yang ceria sentiasa.
Tahukah kawan-kawan, Melah Melia kini sudah sampai ke penghujung ceritanya? Sudahkah kawan-kawan mendapatkan keempat-empat siri Melah Melia sebelum ini? Yang terakhir adalah Melah Melia 5 yang berjudul Melah Melia: Selamat Tinggal Kawan. Ia masih berada di pencetak dan akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Mari kita imbas kembali sinopsis Melah Melia.
MELAH MELIA:
Mengisahkan kehidupan pelajar tingkatan dua yang bernama Melah Melia yang mempunyai tuala busuk dan bantal busuk. Dia pelajar yang pintar tetapi naif. Dia sering menjadi mangsa buli sepupunya, Rahim.
Kehidupannya berubah apabila keluarganya bertekad menyuruh dia tinggal di asrama. Tinggal di asrama adalah perkara yang menggerunkan memandangkan Melah Melia menyimpan rahsia besar berkaitan kelemahan dirinya iaitu kencing malam dalam tidur.
Selain daripada itu, dia juga menjadi mangsa buli. Namun, akhirnya dengan bantuan dua orang rakan baiknya, Melah Melia berjaya juga mengharungi kehidupan di asrama.
MELAH MELIA 2:
Hari itu Melah Melia kembali semula ke asrama dengan keyakinan diri dan azam yang semakin tinggi kerana pada tahun itu dia akan menghadapi peperiksaan PMR. Namun, dalam hatinya Tuhan sahaja yang tahu betapa runsingnya Melah Melia apabila memikirkan adakah dia akan terus bocor ataupun terus berurut dengan Makcik Esah bagi menghilangkan masalahnya itu.
MELAH MELIA 3:
Melah Melia kembali lagi! Kali ini Melah Melia ada masalah masalah dengan Syamimi, kawan baiknya. Mengapa Syamimi tiba-tiba berubah? Tidak lagi menghabiskan masa bersama-sama Melah Melia. Apa salah Melah Melia? Adakah dia bukan kawan yang baik?
MELAH MELIA: ROMBONGAN KE PANGKOR:
Melah Melia dan rakan-rakannya teruja apabila sekolah mereka akan mengadakan rombongan ke Pulau Pangkor. Namun kerana masalah peribadi Melah Melia yang sering kencing malam ketika tidur, menyebabkan kegembiraan Melah Melia terbantut. Adakah Melah Melia berjaya menyertai rombongan ini bersama rakan-rakan yang lain dan mengatasi kegusaran hatinya?
MELAH MELIA: SELAMAT TINGGAL KAWAN:
Melah Melia ingin melalui saat-saat terakhir di sekolah dengan lebih bermakna. Syamimi mula berubah menjadi pemalas, suka tidur dan gila mi segera, juga hantu TV. Amran pula berusaha hendak meluahkan perasaannya kepada Syamimi dan tidak mahu gagal lagi seperti sebelumnya. Norzila pula semakin gagal menguruskan masa. Suatu hari Rodiah dan Athirah sepakat membuka perniagaan mi segera. Sambutan hangat di asrama, membuatkan Syamimi turut menyertai perniagaan itu. Melah Melia semakin risau kerana para penghuni asrama mengamalkan gaya pemakanan mi segera yang tidak sihat itu. Rahim pula bersungguh-sungguh melantik dirinya sebagai jurulatih Din kerana tidak lama lagi Din akan menyertai sukan di tadikanya. Din terseksa kerana terpaksa menjalani latihan oleh jurulatih yang tidak pernah dikehendakinya itu.
Disebabkan risau dengan gaya pemakanan yang tidak sihat, Melah Melia mencadangkan CIkgu Murni supaya menjual makanan. Akhirnya jualan makanan CIkgu Murni membuatkan perniagaan mi segera di asrama itu lingkup. Melah Melia mencadangkan tiga sahabatnya itu menyertai perniagaan CIkgu Murni. Amran pula tersalah beri hadiah dan surat kepada Rodiah, menyebabkan budak perempuan itu mengamuk di depan asrama putera. Habis terbongkar rahsia Amran.

Gambar menunjukkan Puan Ainin Naufal sedang menandatangani buku beliau.
