Tip Survival Penulis: Membezakan Unsur ‘Trend Pasaran’ dan ‘Mood Pasaran’
Tip Survival Penulis: Membezakan Unsur ‘Trend Pasaran’ dan ‘Mood Pasaran’
Dalam dunia pasaran, ada dua istilah yang mempunyai kesan ke atas hayat jualan buku. Istilah-istilah itu adalah "trend pasaran" dan "mood pasaran".
Trend pasaran adalah fenomena yang ada turun-naiknya dan boleh berulang-ulang. Jadi, sesuatu trend itu mungkin berulang 10 tahun kemudian.
Sesuatu trend itu menurun disebabkan adanya trend baru yang muncul.
Sebagai contoh, genre chiclit adalah trend yang terkini muncul dalam pasaran fiksyen Melayu. Pada saat ini jualan novel-novel chiclit sedang berkembang dengan menggebu-gebu, oleh itu banyak penerbit dan penulis memasuki sektor ini.
Tempoh selama mana trend chiclit sekarang ini dapat terus berkembang sebelum ia mendatar ataupun menurun masih tidak dapat dipastikan. Namun, lazimnya sesuatu trend pasaran akan berkembang selama lebih kurang 10 - 15 tahun, kemudian pasaran akan mendatar ataupun menurun.
Tempoh pasaran trend mendatar adalah sekitar 10 - 15 tahun juga, sebelum ia bangun semula dan berulang lagi.
Dalam trend ada apa yang disebut mood-mood pasaran. Mood pasaran adalah unsur yang tidak kekal dan tidak berulang.
Mood pasaran dicipta oleh unsur-unsur vicarious. Contoh unsur vikarius adalah (i) warna, (ii) desain, (iii) brand dan label, (iv) teknologi dan gajet, serta (v) unsur bahasa.
Bahasa yang mencipta mood adalah bahasa sub-culture, iaitu bahasa yang digunakan oleh kelompok kecil, seperti slang kelompok anak-anak muda. Setiap kelompok anak muda mencipta slang masing-masing, dan slang itu tidak lama digunakan. Slang tahun-tahun 1990-an tidak dapat difahami pada tahun 2000.
Slang anak muda dari keluarga kelas menengah di Kuala Lumpur tidak serupa dengan slang anak muda kelas rendah di Kuala Lumpur. Slang anak-anak muda Pulau Pinang tidak serupa dengan slang anak muda Kuala Terengganu. Slang anak muda yang bersekolah agama tidak serupa dengan slang anak muda bersekolah harian.
Trend adalah umpama iklim, yang berubah namun berulang-ulang. Manakala mood adalah umpama cuaca.
Apabila trend lama bangun dan berulang lagi, tidak semua pengarang, dan tidak semua judul lama, akan laku semula. Hanya nama-nama pengarang dan judul-judul lama yang terbaik dan mempunyai ciri-ciri evergreen sahaja yang akan laku semula.
Justeru, pengarang-pengarang yang terbaik mencipta trend. Mereka mengelak daripada mencipta mood.
Dipetik daripada http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_membezakan_unsur_trend_dan_mood_dalam_pasaran/
