Nisa
24 August 2010 Selamat Datang Ramadan!
Pada saat Ramadan tiba, perkara pertama yang saya kenang adalah kata-kata arwah nenek saya. Katanya, “Pada bulan Ramadan, suasananya berbeza. Cahaya matahari, litup awan dan hembus anginnya berbeza.”
Waktu itu, saya mencari makna kata-kata nenek saya melalui harfiah, dan saya tidak mengerti mengapa suasananya perlu berbeza. Saya sering memandang ke langit mencari apa yang berbeza, namun mataharinya tetap sama. Cuma saya merasai hembus angin, sejuknya tetap juga sama. Saya beranggapan, hanya orang tua-tua seperti nenek saya yang akan mengerti apa bezanya.
Itu cerita dahulu, dan sekarang, saya tidak perlu menjadi orang tua-tua bagi mula mengerti apa maksud arwah nenek saya. Kini saya betul-betul merasai yang Ramadan itu sememangnya bulan yang berbeza. Pada saat bangun pagi saya, saya rasakan mataharinya dengan rasa bahagia. Pada waktu melihat awannya, saya rasakan awannya lebih elok susunnya. Semuanya berkenaan Ramadan, adalah hari yang indah.
Saya tidak tahu mengapa saya berasa begitu. Sama ada itu cuma perasaan saya ataupun ia betul-betul terjadi, saya tidak tahu. Namun itu yang saya rasa pada saat datangnya Ramadan, satu semangat baru untuk saya.
Namun, ada juga perkara berkenaan Ramadan yang saya tahu sebabnya dan jelas perasaannya. Ramadan berbeza, kerana adanya orang yang saya sayang, yang saya kasihi sudah tidak menyambut Ramadan bersama saya. Malah bertambah berbeza, kerana ada orang baru yang menyambut bahagianya Ramadan bersama saya.
Itulah Ramadan, ia datang dan pergi, sama seperti kita. Semoga datangnya Ramadan kali ini, saya masih sempat merasai perbezaan-perbezaannya. Semoga.... Selamat datang Ramadan.
Nisa
24 August 2010 
Ramadan Datang Lagi!
Ramadan datang lagi! Sekarang apa yang kita semua rasa? Seronok? Lapar? Letih? Tidak sabar mahu raya? Setiap Ramadan pasti akan ada kenangan-kenangan yang manis ataupun masam-masam pahit yang akhirnya menjadi terlalu manis apabila dikenang. Setiap tahun kedatangan Ramadan dinanti oleh kaum Muslimin di seluruh dunia. Ramadan bulan seribu rahmat. Ramadan bulan penuh berkat. Ramadan bulan yang penuh dengan keseronokan.
Mari kita renungkan apa yang seronok pada bulan Ramadan? Bagi umat Islam yang berpuasa, dijanjikan dua keseronokan. Pertama, ketika tiba masa hendak berbuka. Kedua, apabila tibanya Aidilfitri.
Tentu adik-adik pernah merasai kedua-dua keseronokan itu bukan? Sekiranya tidak pernah, tentu ada yang tidak kena!
Mengimbas zaman kanak-kanak dahulu, bukan main teruja kami apabila mendapat tahu tidak lama lagi ahli falak akan meneropong anak bulan. Malam itu telinga dan mata perlu dipekakan supaya dapat dengar dengan jelas pengumuman di televisyen. Perasaan waktu itu memang seronok kerana Ramadan tiba lagi. Dalam kepala sudah terbayang bunga api yang cantik, bertarawih, moreh, bertukar-tukar juadah dengan jiran, dan berhari raya selepas tiga puluh hari kemudian. Awal-awal bulan puasa lagi sudah terbayang baju, duit dan kuih-muih raya. Memang menyeronokkan!
Berapa ramai antara kita yang tidak seronok ketika hampir tiba waktu berbuka? Pasti semua orang tidak sabar-sabar menanti waktu itu. Berbagai-bagai gelagat dapat dilihat apabila seluruh ahli keluarga berkumpul bagi berbuka bersama-sama. Ada yang awal-awal lagi sudah berkira-kira menyusun makanan apa yang mahu dimakan dahulu. Ada juga yang sudah bersiap sedia menyusun makanan ke dalam pinggan sendiri ataupun meletakkan makanan kegemaran betul-betul di hadapannya kerana takut dihabiskan orang lain. Ada juga yang sudah duduk di hadapan hidangan sedangkan ketika itu azan hanya akan berkumandang setengah jam lagi.
Pada bulan-bulan biasa, keadaan waktu makan tidak semeriah ketika berbuka pada bulan Ramadan. Ahli keluarga yang sibuk, ada kalanya langsung tidak berkesempatan makan bersama-sama. Namun bulan seribu berkat inilah waktu makan menjadi seronok kerana dapat makan beramai-ramai. Semua orang berebut-rebut pulang awal supaya dapat berbuka bersama-sama. Makan berebut-rebut memang seronok! Ya, seronok dan seronok lagi. Namun janganlah ada yang sampai bergaduh pula, ya. Ketika ini ibulah yang paling sibuk sekali melayan ahli keluarga yang lain makan.
Pada bulan Ramadan, syaitan dibelenggu dan manusia dapat beribadat tanpa gangguan. Namun mampukah kita melawan dan mengawal nafsu? Apabila bercakap soal makan dan hidangan berbuka, pasti ramai yang tiba-tiba teringin makan bermacam-macam hidangan. Pada bulan-bulan biasa, pisang yang berlambak di dapur langsung tiada sesiapa yang mahu makan. Namun apabila tiba bulan puasa, pisang yang dahulunya tidak dipandang itu kelihatan sedap pula. Seolah-olah ia melambai-lambai pandangan dan mengecurkan air liur. Ketika itu bermacam-macam menu pisang yang muncul di dalam benak; pengat, cekodok, pisang goreng, lepat dan lain-lain lagi.
Apabila pergi ke kedai pula, sebaik tiba di rak-rak makanan, semuanya nampak menggoda. Biskut kering pun mampu menggamit selera. Bayangkan pula sekiranya berada di bazar Ramadan yang penuh dengan beraneka juadah, daripada yang biasa-biasa hinggalah kepada juadah yang pelik-pelik. Pasti ketika itu ramai yang gagal mengawal nafsu. Semuanya dibeli. Sekiranya boleh, dengan penjualnya pun hendak dibeli sekali. Apabila tiba di rumah, ada pula ahli keluarga yang turut membeli bermacam-macam makanan. Akhirnya, apabila selesai berbuka, makanan itu masih berlambak-lambak. Hingga waktu sahur pun makanan itu sudah tidak terusik lagi. Kita mengawal nafsu dan bukan nafsu mengawal kita. Mari sama-sama mengingatkan diri.
Perlu diingat, Ramadan bulan istimewa. Ibadah yang dilakukan pada bulan ini Allah melipatgandakan pahalanya. Tarawih ialah ibadah khusus dan istimewa pada bulan ini. Tidak ada solat tarawih pada bulan-bulan biasa. Oleh sebab itu, rebutlah peluang menunaikannya ketika masih ada kesempatan. Begitu juga membaca al-Quran. Aktiviti bertadarus seronok apabila dilakukan secara berkumpulan. Namun kini disebabkan kesibukan, ramai yang memilih melakukannya secara individu. Apapun, rebutlah tawaran hebat yang Allah sediakan khusus pada bulan istimewa ini!
Apabila sudah melewati beberapa hari berpuasa, maka ketika itu setiap hari masing-masing sudah mula sibuk membilang tinggal berapa hari lagi Aidilfitri, siapa yang sudah ponteng puasa, siapa yang masih mengekalkan rekod berpuasa dengan cemerlang. Ketika ini ramai yang mula mencongak-congak berapa jumlah pungutan duit raya. Baju dan kasut raya jangan ceritalah, sudah tentu awal-awal lagi sudah digayakan di hadapan cermin. Mungkin juga ada yang sudah tidak sabar-sabar menyuruh ibu buat kuih raya ataupun sibuk bercita-cita menyuruh ibu membeli kuih-kuih raya kegemaran. Ketika inilah terasa keseronokan kedua bagi orang yang berpuasa. Setiap hari asyik mengira berapa hari lagi tibanya hari raya.
Begitulah seronok dan nikmatnya berada di bulan Ramadan. Hanya yang berpuasa yang faham dan dapat menikmati keseronokan itu. Pada bulan yang istimewa ini, jadikanlah ibadah puasa kita sebagai yang paling cemerlang, tanpa dicemari oleh perbuatan-perbuatan yang mengurangkan pahala puasa. Mari sama-sama menggandakan pahala. Selamat beribadah!
Rafiza
19 August 2010 Assalamualaikum kawan-kawan,
Bagaimana puasa kawan-kawan? Cukup ataupun tidak? Jangan curi-curi makan ya. Berdosa. Perbuatan itu sebenarnya bukan menipu orang lain. Tetapi sebenarnya kita sedang menipu diri kita sendiri. Tetapi kami di PTS One yakin, kawan-kawan semua tidak tergolong dalam golongan itu. Betul bukan? Bagi kawan-kawan yang baru berlatih puasa, jangan panik. Mungkin kawan-kawan masih baru. Mulakan dengan berpuasa setengah hari. Sekiranya larat teruskan sehingga pukul dua, sekiranya larat teruskan hingga pukul tiga dan seterusnya. Lama-lama, kawan-kawan pasti berjaya berpuasa penuh. Berusaha!
Sedar ataupun tidak, kita sudah berpuasa selama sembilan hari. Bermakna kita ada kira-kira dua puluh ataupun dua puluh satu hari lagi. Hore! Memandangkan puasa masih ada banyak hari lagi, jadi mari kita berkongsi cerita puasa. Apa pengalaman menarik kawan-kawan sepanjang berpuasa? Tidak kira sama ada tahun ini ataupun tahun-tahun yang lepas.
Apa tunggu lagi? Mari kita berkongsi cerita Ramadan.
Nisa
19 August 2010
Kenangan Ramadan Si Gadis Kenit...
Ramadan kembali lagi. Kita sangat bertuah kerana diberi peluang bertemu dengan tamu agung ini. Ketibaan Ramadan merupakan sebuah kesempatan yang istimewa kerana belaian kasih ar-Rahman akan sentiasa menghampiri kita. Begitulah yang dirasakan oleh si Gadis Kenit setiap kali Ramadan tiba. Bulan yang sangat dinantikan olehnya. Dahulu, kini dan selamanya....
Ketika di sekolah rendah, dia sangat suka bulan Ramadan kerana dia berpeluang melakukan aktiviti yang disukainya iaitu menghantar kuih-muih dan juadah berbuka puasa ke rumah jiran-jiran terdekat. Ibunya akan memasak pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih yang lazat sebagai juadah berbuka puasa.
Setiap petang, selepas selesai kelas Pengajian Tajwid dan Fardu Ain, dia akan bergegas pulang ke rumah dan akan segera meninjau ke dapur bagi melihat apakah menu masakan ibunya pada petang itu. Kemudian, dia segera menawarkan diri bagi membantu ibunya memasak apa sahaja kuih-muih yang diilhamkan. Kuih yang paling dia suka adalah tepung bungkus dan gula melaka.
Mengapa si Gadis Kenit sangat suka menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran-jirannya? Bukan kerana dia akan mendapat balasan juadah yang tidak kurang juga menariknya, tetapi kerana ketika dalam perjalanan, dia berkesempatan berangan menjadi gadis penghantar barang seperti Kiki di dalam cerita Koleksi Ghibli, Kiki’s Delivery Service. Cuma yang bezanya, Kiki menaiki penyapu ajaib yang boleh terbang ketika menghantar barang, tetapi si Gadis Kenit sekadar menunggang basikal. Dia cukup bahagia melaksanakan tugas menghantar segala juadah berbuka puasa itu ke rumah jiran-jirannya kerana dia membayangkan dirinya seorang gadis yang baik hati dan comel seperti Kiki.
Ketika usianya menginjak remaja, dia dihantar bersekolah di sekolah asrama. Dia tidak lagi berkesempatan melakukan rutin menghantar juadah ke rumah jiran-jirannya, sementelah tradisi itu makin dilupakan. Namun, dia tetap menjadi insan yang paling gembira menyambut ketibaan Ramadan. Tetapi kini kegembiraannya mula berubah corak. Dia gembira berbuka puasa beramai-ramai bersama teman-teman di asrama walaupun juadahnya tidaklah seistimewa di rumah. Dia juga masih berkesempatan berangan menjadi orang yang mendapat lailatulqadar.
Si gadis Kenit masih ingat kata-kata ustazahnya di sekolah, “Lailatulqadar adalah satu anugerah. Ia bukannya sesuatu yang diperoleh secara kebetulan. Lailatulqadar perlu dicari, bukan dinanti.”
Jadi, setiap malam selepas bertarawih di surau asrama, dia akan berangan mendapat lailatulqadar dalam pelbagai versi mengikut cerita-cerita yang pernah didengarinya. Tetapi, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui sama ada si Gadis Kenit pernah melalui malam itu ataupun tidak. Sebelum tidur, dia tidak lupa berdoa dan berharap supaya dia dapat bangun pada sepertiga malam bagi melaksanakan ibadah sebanyak mungkin bagi menjadi insan yang dianugerahkan rezeki malam lailatulqadar.
Hari berlalu dengan pantas. Bulan dan matahari silih berganti melaksanakan tugas menyinari bumi. Kini, si Gadis Kenit makin menginjak dewasa. Ramadan lebih dinanti kerana ia seolah-olah membuka peluang bagi dirinya menilai kemajuan iman dalam diri. Bagaimana puasa dapat membentuk nilai dalam dirinya sebagai insan yang berkualiti bagi segala aspek kehidupan? Bagaimana Ramadan mampu mempengaruhi graf keimanan dan ketakwaannya? Bagaimana Ramadan mampu mendidik dirinya supaya menjadi seorang insan yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam yang jitu dan dunia tidak rugi memilikinya sebagai penghuni? Bagaimana Ramadan mampu meninggikan tahap kesabarannya kerana sesungguhnya Ramadan adalah bulan kesabaran.
Akhir kalam, selamat meneruskan ibadah di bulan yang barakah ini dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan.
Majidah Mat Jusoh
Nisa
19 August 2010 
Semangat Ramadan
(Peringatan buat diriku yang alpa)
"Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkatan. Allah mengunjungimu di bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba di bulan ini dan membanggakan kamu kepada para malaikatNya. Maka tunjukkanlah kepada Allah perkara yang baik-baik daripada kamu kerana orang yang sengsara adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini." (Hadis riwayat at-Thabrani)
Ramadan menjadi kerinduan setiap orang yang beriman. Kedatangan bulan yang membuat hati-hati menjadi sebak dan terharu penuh rindu dan linangan air mata. Sebabnya tidak lain, melainkan kerana menyedari diri yang berdosa. Namun di sebalik sebak dan haru serta linangan air mata, terpancar satu peluang dan harapan kerana di bulan mulia penuh barakah ini, Allah menjanjikan sesuatu. Ya. Janji Allah bagi menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa-doa yang dipohonkan kepadaNya. Mudah-mudahan Allah masih memberikan rasa nikmat ke dalam hati-hati kita sebagai anugerah terindah kerana berpeluang berada kembali di bulan Ramadan pada tahun ini.
Bersama kita hadirkan semangat Ramadan dengan berjemaah di masjid, qiamullail, solat terawih, tilawah al-Quran, bersedekah dan ibadah-ibadah lain. Ibadah-ibadah tersebut semakin kita perhebatkan menjelang sepuluh malam terakhir, terus memanjatkan doa dan memohon ampun kepada Allah ke atas segala dosa yang kita lakukan.
Seterusnya semangat Ramadan sama-sama kita kekalkan walaupun bulan Ramadan berlalu pergi. Bermula dengan menjengahnya bulan Syawal, kita meneruskannya dengan puasa-puasa sunat, tilawah al-Quran, menghiasi malam dengan qiamullail dan terus menggengam kuat segala ibadah lainnya dengan penuh tanggongjawab. Semoga iman kita terus terpelihara hingga kita diberi peluang sekali lagi menikmati limpahan rahmat dan barakah di bulan Ramadan tahun hadapan, Insya-Allah.
Nisa
13 August 2010 
Rindu Uji dan Intan di Bulan Ramadan
Saya dan keluarga Haji Nokman hidup berjiran. Pendek kata sekiranya mahu ke rumah mereka, dua minit berjalan kaki pun sudah sampai. Haji Nokman dan isterinya mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan. Dua anak perempuan mereka adalah kawan-kawan saya kerana umur kami yang sebaya. Intan, seusia saya manakala kakaknya Uji tua lebih setahun.
Kenangan raya puasa saya banyak berkisar bersama Intan dan Uji. Kami sama-sama bersembahyang terawih di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, masjid yang bagi saya paling tercantik di Malaysia. Tentu ramai yang pernah melihat gambar masjid ini walaupun tidak melawat sendiri ke situ. Untuk makluman semua, rumah saya berada di sebelah kanan masjid itu sahaja.
Zaman kanak-kanak saya, Intan, Uji dan seorang lagi kawan saya Faridah sering berkisar di masjid itu kerana kami suka bermain-main di situ dan kadangkala dimarahi petugas masjid kerana sering berbuat bising. Biasalah, kanak-kanak.
Apabila mendapat kebenaran daripada ibu bapa bagi bersolat terawih, saya bukan main seronok lagi. Yalah, bukan hanya dapat bersolat, malah dapat berjumpa kawan-kawan dan selepas itu ada moreh pula. Bukanlah mahu makan sangat tetapi kami sukakan suasananya. Mungkin ketika itu umur dalam tiga belas ataupun empat belas tahun. Perjalanan pulang pula kami akan menikmati kesejukan malam, jalan perlahan-lahan dan ada masanya cuba mentafsir bintang. Kumpulan bintang itu berbentuk tongkatlah, bungalah, bolalah dan bermacam-macam lagi. Oh, imiginasi kami memang tinggi sekali.
Cuma, saya ada masalah penakut. Untuk ke rumah Intan, saya perlu menempuh jalan yang gelap gelita dan agak berhutan. Siang hari memang saya berani tetapi malam lain pula ceritanya. Namun, Intan dan Uji akan dengan setianya datang mengambil saya. Pernah saya dengar emak dan kakak saya bersembang, “Rajin sungguh si Intan dan Uji menjemput Kusyi. Jawab emak saya, “Masakan tidak, si Kusyi itu penakut nombor satu!”
Saya sebenarnya bukan penakut tetapi kerana sering ditakut-takutkan oleh kawan-kawan yang nakal, saya jadi mudah ngeri berjalan seorang.
Balik dari solat terawih, Intan dan Uji akan menghantar saya balik dahulu sebelum balik ke rumah mereka walau rumah mereka lebih dekat dengan masjid. Baik sungguh mereka.
Apabila salah seorang daripada dua beradik itu keuzuran dan tidak dapat ke masjid, perkara sama tetap berulang iaitu menghantar saya pulang dahulu sebelum dia berjalan pulang seorang diri dalam kegelapan malam ke rumah sendiri.
Baru-baru ini selepas berjumpa kembali Intan pada acara ziarah sempena hari raya, cerita itu dibangkitkan kembali dan kami bergelak ketawa. Intan berterus terang bahawa sebenarnya dia sendiri amat takut untuk pulang ke rumah seorang diri pada malam yang gelap begitu tetapi dia terpaksa memberanikan diri kerana kasihankan saya.
Sungguh, saya tidak menyangka Intan takut kerana bagi saya dia dan Ujilah manusia paling berani di dunia kerana tidak takut berjalan seorang diri sebegitu.
Begitulah, betapa murninya persahabatan waktu remaja dan kawan yang baik akan berkorban demi sahabatnya. Intan kini tinggal di Ulu Klang dan kakaknya Uji di Taiping, Perak. Masing-masing sudah berkahwin dan beranak-pinak, hidup mereka sangat bahagia.
Setiap kali tiba Ramadan, saya pasti teringat kenangan ini dan mendoakan kawan-kawan saya ketika kecil dan remaja seperti Intan, Uji, Faridah, Aszurina, Aminatun, Niaziyatun, Eja dan lain-lain diberkati Allah hendaknya.
Salam Ramadan untuk semua.
Kusyi Hirdan
Nisa
26 July 2010
Nisa
26 July 2010
Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses detoksifikasi (detoxification process) yang baik. Detolsifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun ataupun toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown(Ph.D) dalam Advebtures in Therapeutic Fasting, "Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini adalah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat bagi meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa semasa sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan.
Semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan bagi pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit."
Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and We Can Learn From Them, "Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja bagi binatang malah juga bagi manusia. Puasa mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi bagi bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya."
Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubahan berprestij, The Lancet, disebutkan, "Puasa selagi mana tidak menyebabkan. Sekiranya berlaku kematian semasa berpuasa, punca kematian daripada sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..." (Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation Lancet i: 1154. 1969)
Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di Universiti of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan aitenatif merumuskan, "Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minumam dalam jangka masa pendek adalah amat selamat."
Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan 'kesihatan dan Ramadan' diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian pada masa itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa pada bulan Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.
Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud "Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir(maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikanlah ia pada hari yang lain."
Sekiranya penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.
Artikel dipetik daripada buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains oleh Dr. Danial Zainal Abidin
Nisa
20 July 2010 Kawan-kawan boleh sertai Kuiz Terkumpul Baca@Ramadan di Facebook PTS. Sempena menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba, Jabatan Pemasaran PTS menganjurkan Kuiz Terkumpul Baca@Ramadan sepanjang 9 minggu. Kuiz ini bertujuan untuk memeriahkan lagi promosi Baca@Ramadan yang dilaksanakan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Bagaimana mahu sertai kuiz ini?
Mudah sahaja. Kawan-kawan perlu mengumpul 9 soalan kuiz selama 9 minggu berturut-turut, berserta jawapan dan slogan. Bermula 4 Jun ini, soalan kuiz akan dipaparkan pada setiap hari Jumaat di laman sosial Facebook Buku PTS. Layari http://www.facebook.com/bukupts
Sertai ahli Facebook Buku PTS bagi melihat soalan-soalan kuiz ini.
Selepas minggu ke-9, kawan-kawan boleh menghantar 9 jawapan terkumpul dan slogan ke alamat e-mel: kuiz@pts.com.my
Apa hadiahnya?
Sudah pasti duit raya yang dijanjikan kepada pemenang yang berjaya mengumpul 9 soalan kuiz berserta jawapan dan slogan.
* Hadiah tempat pertama: Duit Raya PTS bernilai RM200.00 dan sebuah buku.
* Hadiah tempat kedua : Duit Raya PTS bernilai RM150.00 dan sebuah buku.
* Hadiah tempat ketiga: Duit Raya PTS bernilai RM100.00 dan sebuah buku.
* 20 hadiah saguhati, Duit Raya PTS bernilai RM30.00 setiap seorang.
Apa syarat-syaratnya?
1. Terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia kecuali kakitangan dan ahli keluarga PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd
2. Peraduan kuiz berlangsung selama 9 minggu berturut-turut bermula 4 Jun hingga 30 Julai 2010.
3. Kumpul soalan kuiz berserta jawapan dan slogan, kemudian hantar ke e-mel kuiz@pts.com.my
4. Soalan kuiz akan dipaparkan setiap hari Jumaat.
5. Semua pemenang akan diberitahu melalui e-mel ataupun panggilan telefon.
6. Pemenang dipilih berdasarkan jawapan yang tepat, slogan paling kreatif dan butiran diri yang lengkap.
7. Hadiah kepada pemenang akan dipos ke alamat yang lengkap.
8. Peserta dan pemenang akan menanggung sepenuhnya sekira berlakunya liabiliti, kecemasan, kecederaan, kerosakan, tuntutan kemalangan (termasuk kematian) yang disebabkan mereka semasa menyertai kuiz ini.
9. PTS berhak menggunakan nama, maklumat dan gambar pemenang bagi tujuan periklanan, perdagangan, dan/ataupun publisiti, tanpa perlu memberitahu terlebih dahulu kepada pemenang. Pemenang tidak layak menuntut pemilikan ataupun apa-apa pampasan penggunaan itu.
10. Keputusan hakim adalah muktamad dan tiada surat-menyurat akan dilayan.
11. Peserta bersetuju mematuhi syarat-syarat peraduan dan menerima keputusan hakim apabila menyertai kuiz terkumpul ini.
12. Tarikh tutup kuiz adalah pada 31 Julai 2010.
13. Hantar setiap jawapan,slogan yang kreatif dan butiran diri sebelum 1 Ogos 2010.
14. Lengkapkan slogan:
Saya seronok baca buku PTS pada bulan Ramadan kerana .... (tidak melebihi 15 patah perkataan)
Dipetik daripada: http://pts.com.my/index.php/promosi/
Selamat mencuba! ![]()
Nisa
20 July 2010
Assalamualaikum kawan-kawan. 
Semoga kawan-kawan sudah bersedia menyambut kehadiran Ramadan yang dinanti-nantikan selama ini.
Menjelang bulan Ramadan yang mulia ini, PTS One menyajikan kawan-kawan dengan pelbagai bahan bacaan buat santapan harian sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa. Antara buku-buku yang dipilih sepanjang bulan Ramadan adalah seperti di bawah ini. Semoga kawan-kawan terhibur di samping mendapat ilmu yang berguna dan pahala yang berlipat ganda sepanjang bulan puasa ini.

Ceriakan aidilfitri kawan-kawan dengan kompilasi cerpen terbaik daripada para penulis PTS ONE kesayangan semua, himpunan cerpen menarik daripada para peminat PTS ONE dan koleksi komik yang menghiburkan. Penuh warna-warni dalam Remaja@ptsone 2010 khas untuk remaja!

Sarah muncul kembali dengan siri kelima iaitu Sarah dan Duit Raya. Kali ini Sarah dan adiknya, Amin, keluarga mereka serta rakan-rakan akan menyambut hari raya. Dalam menjalani ibadah puasa, pelbagai perkara berlaku kepada mereka. Mereka juga merancang menggunakan duit raya mereka dengan sesuatu yang berfaedah. Ada yang mahu membeli komputer riba, ada yang mahu membelanja rakan dan keluarga, dan ada juga yang sekadar mahu menyimpannya. Sarah tidak tahu bagaimana dia mahu menggunakan duit rayanya kelak, namun pada suatu hari, Sarah bermimpi sesuatu yang dapat membantunya membuat keputusan. Apakah mimpi itu dan apa keputusan Sarah?
Pastinya sesuatu yang di luar jangkaan.

Ikuti kisah Puteri Arabella yang tampil membuat kebajikan dan terpaksa mengorbankan barang yang disayanginya demi insan yang lebih memerlukan. Dia mahu melihat orang lain gembira. Dia berharap gaun merah jambu kepunyaannya dapat membuatkan rakannya gembira di hari lebaran.
Kali ini Puteri Dian Adelia terpaksa menggayakan gaun merah jambu yang bukan warna kegemarannya. Walaupun begitu, dia bahagia kerana dapat membantu kawan baiknya Izyan menyelesaikan masalahnya.
Hayati kisah Puteri Farisya yang gembira dapat membantu kanak-kanak miskin bergembira di hari raya. Walaupun sibuk dengan membuat kebajikan, dia tidak lupa dirinya sendiri. Gaun merah jambu tetap menjadi pilihan hati.
Selepas pelbagai ujian dilalui, akhirnya Puteri Qaira dapat berkongsi baju raya berwarna merah jambu bersama teman baharunya Rafika.
Puteri Humaira menerima hadiah istimewa bagi dipakai pada hari raya. Gaun merah jambu yang diberikan ayahandanya sungguh bermakna baginya.


Aiman kelihatan bersemangat menyambut bulan Ramadan. Mana tidaknya? Aiman sanggup memecah tradisi hidupnya dengan membuat diari khas sempena bulan Ramadan. Inilah pertama kali dalam hidupnya Aiman buat begitu. Entah apa yang ditulisnya dalam diari itu, ya. Mari kita curi baca, apa yang Aiman tulis dalam diarinya sempena edisi khas Dunia Sains Aiman.